Thursday 5 April 2012

0

Kisah Cinta Ummu Qais

  • Thursday 5 April 2012
  • Unknown
  • Share


  • Sekali peristiwa, diceritakan bahawa ada seorang sahabat yang bernama
    Hatib telah mencintai seorang gadis rupawan yang bergelar Ummi Qais.
    Sebagai kebiasaannya orang yang bercinta, Hatib berusaha agar si gadis
    itu dapat dimilikinya. Dia pun meminang Ummi Qais sewaktu mereka
    sama-sama berada di Makkah lagi, akan tetapi, oleh kerana kemalangan
    nasibnya, gadis itu telah menolak peminangan Hatib. Kemudian Ummi Qais
    pun berhijrahlah pula bersama-sama orang-orang Islam yang berhijrah ke
    Madinah.

    Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Hatib, dia merasa amat
    berdukacita. Oleh kerana terlalu merindukan Ummi Qais, Hatib lalu
    mengambil keputusan untuk berhijrah menjejaki langkah Ummi Qais ke
    Madinah, dengan harapan agar dia dapat memikatnya dan memujuknya
    semula sewaktu di Madinah nanti.

    Jadi nyatalah sudah bahwa hijrahnya Hatib itu bukanlah semata-mata kerana tujuan asal berhijrah ke sana; iaitu untuk mencari tempat perlindungan bagi agamanya. Tetapi di sebalik itu, ada maksud yang lain yang lebih diutamakannya; iaitu moga-moga ia dapat menukar keputusan Ummi Qais yang lalu dan moga-moga Ummi Qais akan menerimanya
    pada kali ini, sebab hatinya sangat sayang dan mencintai Ummi Qais.

    Cerita hijrahnya Si Hatib sepenuhnya telah disampaikan kepada pengetahuan Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itulah, maka Hadis ini telah disabdakan, iaitu:

    "Dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia (sebab-sebab keduniaan) yang ia ingin memperolehinya, ataupun kerana seorang perempuan yang ia ingin menikahinya maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia berhijrah kepadanya." [Bukhari & Muslim]

    Maksudnya: Tiadalah ia mendapat pahala apa pun dari hijrah yang telah ia lakukan itu. Sebab orang lain berhijrah membawa dirinya dan agamanya agar terselamat dan fitnah kekufuran yang mengancamnya di negeri Makkah, semata-mata kerana mentaati perintah Allah dan RasulNya. Akan tetapi maksud utama hijrah Hatib ada yang lain; iaitu
    keinginan hati untuk menawan Si gadis kecintaannya, sebab itu Rasulullah SAW telah mencelanya secara indirect (tidak langsung) dengan menyabdakan Hadis tersebut di atas tadi.

    Bagi kita kaum Muslimin yang mengikuti cerita Hatib tadi, janganlah dianggap celaan itu hanya ditujukan untuk Hatib seorang saja. Bukanlah itu yang dimaksudkan. Akan tetapi di sebalik peristiwa Hatib itu ada pengajaran lain yang harus kita perhatikan, supaya kita tidak menjadi seperti Hatib pula, sehingga celaan itu akan menimpa kita sama.

    Dalam menjalankan perintah-perintah agama, janganlah hendaknya kita menyaingi ibadat-ibadat kita itu dengan kerja-kerja lain yang berkaitan dengan keduniaan. Misalnya ibadat Haji. Ada orang yang menyaingi ibadat Hajinya dengan kerja-kerja keduniaan, seperti berniaga sewaktu dalam perjalanan ke Haji, atau dalam musim Haji, kerana Keuntungannya berlipat-ganda ketika itu. Ataupun orang itu sengaja menawarkan dirinya untuk menguruskan hal-ehwal orang-orang Haji tentang keperluan-keperluannya dalam perjalanan atau sewaktu mengerjakan Haji itu, sebab seolah-olah dia bekerja dengan bakal-bakal Haji itu, dan mungkin sekali semua wang pelayarannya pun dikutip dan berasal dari bakal-bakal Haji itu samada sebagai komisen ataupun faedah pekerjaannya, yang kalau tiada kerana itu,tiadalah ia akan
    berangkat sama untuk menunaikan Hajinya. Amalan yang serupa ini tentu sekali tiada sepenuhnya tertumpu pada Pekerjaan ibadat terhadap Allah.
    Oleh kerana itu dikuatiri tidak ada gunanya dan tidak ada pahalanya dari Allah s.w.t.

    Lain-lain misalan dalam perkara yang sama banyak sekali, dan semuanya adalah bergantung kepada niat masing-masing pelakunya. Maka hendaklah kita sentiasa waspada dalam hal ini, supaya ibadat-ibadat kita tiada dikongsi dengan amalan-amalan keduniaan, yang nyata sekali ditegah oleb agama, seperti dalam Hadis Rasulullah s.a.w. tersebut di atas.

    Untuk menentukan samada ibadat kita itu seratus persen kerana Allah atau tidak, tanyalah diri kita sendiri secara jujur dan bukan secara helah atau putar-belit, niscaya kita akan mendapati jawapannya yang betul. Seterusnya, Hadis ini, walaupun ditujukan khas kepada Hatib kerana niatnya yang telah menyeleweng dari tujuan asalnya, namun hukumnya umum ditujukan kepada seluruh kaum Muslimin, walaupun
    sebabnya yang pertama kerana Si Hatib tadi.Sebab Rasulullah s.a.w. tidak pernah menujukan sesuatu kecelaan atau kemarahannya terhadap seseorang yang tertentu. Bahkan pengisytiharannya sentiasa umum untuk
    menjadi pengajaran kepada kaum Muslimin yang lain.Selain itu, Rasulullah s.a.w. adalah pemalu orangnya dan tidak pernah menjatuhkan maruah orang lain, apatah lagi untuk membocorkan rahsia orang di hadapan khalayak ramai, itu tentulah jauh sekali.

    WaAllahu A'lam...



    -----------------
    “kalaupun cinta kita tidak bertaut di dunia, biarlah ia bertaut di syurga. Kerana cinta kita ialah cinta perjuangan..!!”

    0 Responses to “Kisah Cinta Ummu Qais”

    Post a Comment

    Subscribe